SEBERANG PERAI – Pasukan bomba sedang berusaha menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ di lokasi kebakaran kilang pita pelekat di Kawasan Perusahaan Perai di sini hingga ke pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Khairy Sulaiman berkata, operasi tersebut dijalankan bagi mengenal pasti bara-bara api dapat dipadamkan sepenuhnya.
“Ini bagi mengelak kebakaran terjadi semula sebelum operasi dapat ditamatkan sepenuhnya.
“Pihak penyiasatan kebakaran (fire forensic) turut berada di lokasi bagi menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kebakaran berlaku,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Katanya, operasi tersebut melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dan turut dibantu beberapa balai.
Mengulas lanjut katanya, kebakaran yang berlaku petang semalam berjaya dikawal daripada merebak sepenuhnya pada pukul 8.41 malam tadi.
Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 4.42 petang.
Kebakaran kilang satu tingkat dengan anggaran keluasan bangunan 200×300 kaki persegi itu melibatkan bahagian stor dan pejabat dengan anggaran kemusnahan kira-kira 60 peratus. – KOSMO! ONLINE