KLUANG – Seramai 120 orang kanak-kanak yang menyertai Program Sunathon melahirkan rasa gembira kerana dapat bersunat awal hari ini.
Mohd Hanzlah Hassan, 43, berkata, kegembiraan itu dapat dilihat daripada anaknya Mohammad Haraz, 6, apabila sanggup bangun awal pagi untuk persiapan ke tempat bersunat di Balai Bomba dan Penyelamat Kluang.
Katanya, anak ke lima daripada enam adik beradik itu juga dilihat tidak merasa gentar untuk bersunat malah menjadi antara peserta awal mendaftarkan diri dan bersunat.
“Syukur dengan program yang dianjurkan Pemuda UMNO Bahagian Kluang ini kerana memberi peluang anak-anak bersunat sebaik memulakan cuti persekolahan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah berkata, Program Sunathon anjuran Pemuda UMNO Bahagian Kluang ini merupakan salah satu takwim tahunan pihaknya.
Ujarnya, program anjuran dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Hospital Pakar KPJ Kluang dan Proton Street Car Kluang ini adalah merupakan salah satu usaha pihaknya untuk membantu ibu bapa menunaikan kewajipan mereka tanpa mengeluarkan kos yang membebankan. – KOSMO! ONLINE