KUALA NERUS – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa bekalan selesa selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Romel Morales memanfaatkan situasi kelam-kabut di kotak penalti tuan rumah setelah tandukan rakan sepasukan, Junheong Park daripada sepakan sudut terkena palang untuk meledak gol pertama pelawat pada minit ke-17.
JDT terus gagah melebarkan kedudukan 3-0 menerusi jaringan bintang sensasi Harimau Malaya, Arif Aiman Hanafi pada minit ke-79 dan 84.
Penyerang import, Bergson Da Silva menambah luka TFC dengan meledak gol keempat pada minit ke-90.
Terdahulu beberapa percubaan skuad Harimau Selatan ke gawang TFC berjaya diselamatkan penjaga gol, Muhammad Rahadiazli Rahalim pada minit ke-10, 14 dan 16.
Skuad Sang Penyu cuba mencari gol penyamaan, namun percubaan dua tonggak import, Nurillo Tukhtasinov dan Ismaheel Akinade tidak menepati sasaran pada minit ke-25 dan 26.
Aksi sedikit tegang apabila jaringan kedua Morales pada minit ke-36 dibatalkan setelah pengadil, Fitri Maskon merujuk kepada Video Bantuan Pengadil (VAR).
JDT juga dinafikan sepakan penalti walaupun Arif Aiman dijatuhkan pada minit ke-55 selepas VAR turut dirujuk.
TFC memperolehi peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, namun hantaran cantik Nelson Bonilla gagal disempurnakan Manuel Ott pada minit ke-61.
Aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia akan dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah pada 1 Februari depan. – KOSMO! ONLINE