PETALING JAYA – Pihak Resorts World Genting (RWG) memberi jaminan bahawa para pengunjung dan kakitangan mereka berada dalam keadaan selamat serta operasi syarikat tersebut tidak terjejas.
Melalui satu kenyataan, RWG menjelaskan, akses ke RWG melalui Jalan Utama Genting kekal terbuka sepenuhnya.
“Satu kejadian tanah runtuh telah berlaku di luar kawasan RWG di Jalan Ion Delemen kira-kira pukul 2.30 pagi hari ini.
“Pasukan tindak balas kecemasan kami telah segera digerakkan untuk memberikan bantuan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi menguruskan situasi ini serta memastikan tindak balas yang terkoordinasi.
“Keselamatan dan kesejahteraan semua individu yang terlibat kekal menjadi keutamaan utama kami,” jelas kenyataan tersebut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan perjalanan pelakon Trisha Ooi ke lokasi penggambaran di Janda Baik, Pahang hari ini berdepan dugaan apabila terkandas susulan berlaku kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang di Jalan Utama Genting.
Trisha, 26, dilaporkan turut terkandas sejak awal pagi bersama kru produksi drama dan pengurusnya yang sepatutnya ke Janda Baik dari Genting Highlands bagi menyambung penggambaran sebuah drama. – KOSMO! ONLINE