fbpx

Emas Olimpik Tokyo tidak mustahil – Jalani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JALANI mengingatkan Aaron-Wooi Yik agar bekerja lebih keras jika mahu menggenggam emas Olimpik di Tokyo, Jepun tahun depan.

LEGENDA badminton tanah air, Datuk Seri Jalani Sidek percaya beregu lelaki No. 1 negara, Aaron­ Chia-Soh Wooi Yik memiliki kualiti untuk memenangi ­pingat emas pada Sukan Olimpik di ­Tokyo, Jepun tahun depan.

Memandangkan masih ber­baki lebih kurang setahun sebelum Sukan Olimpik bermula, beliau menggesa Aaron-Wooi Yik menggunakan masa tersebut bagi memperbaiki segala kekurangan yang ada.

Pemenang Piala Thomas 1992 itu berkata, gandingan No. 9 dunia tersebut sudah memiliki ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi juara, cuma memerlukan sedikit pengorbanan serta kerja keras.

“Pada pemerhatian saya, mereka ada potensi untuk jadi juara berdasarkan kualiti yang dimiliki. Bagaimanapun, mereka perlu berada di bawah pengawasan rapi supaya tidak dipe­ngaruhi unsur-unsur luar.

“Sasaran untuk menang emas di Olimpik tetap realistik kerana masih ada masa. Seperti saya selalu sebut, apa yang kamu cakap kamu perlu kotakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Jalani yang juga juara Piala Dunia 1991 dan 1992 menegaskan, naib juara All England 2019 itu perlu bekerja lebih keras jika mahu menggenggam emas ­Olimpik kerana perlu berdepan jaguh-jaguh dunia yang lain.

Tambah beliau, hubungan antara kedua pemain itu serta barisan kejurulatihan mestilah sentiasa berada dalam keadaan baik serta faham tugas masing-masing.

“Azam untuk menang pingat emas memang bagus tetapi kita perlu sedar ia bukan perkara mudah dan perlu kerja lebih keras kerana masih ada beregu-beregu terbaik seperti pasangan dari Indonesia dan Jepun.

“Selain itu, kerjasama antara pemain dan jurulatih juga pen­ting bagi mencapai apa yang dihajatkan. Buat masa sekarang, saya lihat mereka sebagai pencabar utama pada Olimpik tahun depan,” ujarnya.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 sepatutnya berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos depan, namun terpaksa ditunda ke 23 Julai hingga 8 Ogos tahun depan gara-gara pandemik Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI