IPOH – Pihak pendakwaan dalam kes bunuh pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, menutup kes itu selepas saksi terakhir mereka selesai memberi keterangan hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet selepas saksi pendakwaan ke-33 iaitu pegawai penyiasat, Asisten Superintenden, S. Dasarathan selesai memberi keterangan.
“Pihak pendakwaan tiada saksi lagi untuk dipanggil dan ingin memaklumkan pendakwaan menutup kes kami hari ini.
“Pihak pendakwaan menawarkan tujuh saksi iaitu Pegawai Sains Kriminalistik, Farah Ad-Din Nordin; Pegawai Sains DNA, Nor Alfarizan Mokhtaruddin; Pegawai Sains Toksikologi, Wan Noor Mahirah Majidin dan Pegawai Siasatan Forensik Makmal, Asisten Superintenden Mohamad Nizam Husain selain tiga saksi kanak-kanak,” katanya petang tadi.
Seramai 33 orang saksi pendakwaan telah memberi keterangan termasuk kakak dan bapa kandung Muhammad Zaharif Affendi sejak kes itu mula dibicarakan pada 5 November lalu. Turut dipanggil memberi keterangan ialah tujuh saksi kanak-kanak yang memberi keterangan secara tertutup.
Hakim Bhupindar Singh kemudian menetapkan 14 Mac ini untuk pasukan pembelaan memfailkan hujahan bertulis dan hujahan balas pasukan pendakwaan perlu difailkan pada 11 April depan.
Beliau juga menetapkan 14 April untuk sebutan semula melalui ‘zoom’ bagi menentukan tarikh hujahan lisan sebelum mahkamah memutuskan sama ada akan melepaskan dan membebaskan Mohd. Nazri daripada pertuduhan atau memerintah pegawai polis itu untuk membela diri.
Selain Afzainizam, pendakwaan turut diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui manakala pasukan pembelaan pula dibarisi peguam-peguam bela, M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman. – KOSMO! ONLINE