fbpx

[VIDEO] Portuguese Man of War ‘menjajah’ pantai Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian ubur-ubur api atau Portuguese Man of War yang dijumpai di Pantai Sura, Dungun hari ini.

KUALA TERENGGANU – Portuguese Man of War atau ubur-ubur api dikesan banyak terdampar di sekurang-kurangnya enam pantai peranginan di seluruh Terengganu pada musim tengkujuh ini.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat memberitahu, penemuan ubur-ubur api tersebut dikesan di Pantai Beting Lintang, Besut; Pantai Rhu Sepuluh, Setiu; Pantai Tok Jembal, Mengabang Telong dan Pulau Redang, Kuala Nerus, Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu serta terbaharu Pantai Sura, Dungun.

“Orang ramai yang mengunjungi pantai negeri ini perlu berhati-hati. Jangan sentuh Portuguese Man of War kerana sengatannya sangat beracun dan boleh mendatangkan kesan kecederaan teruk.

“Sekiranya terkena sengatan, dapatkan rawatan segera di klinik berdekatan. Laporkan juga penemuannya kepada Jabatan Perikanan Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Terdahulu pengunjung Pantai Sura yang sedang leka mengutip kerang semalam terkejut dengan penemuan puluhan ubur-ubur api turut terdampar di kawasan itu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Roswati Md. Amin pula berkata, Portuguese Man of War mempunyai sel-sel penyengat berbisa yang terletak pada bahagian tentakel sebagai mekanisme pertahanannya.

“Ramai tertarik untuk mendekati spesies dikategorikan di bawah kumpulan hidroza marin itu kerana warnanya yang cantik iaitu biru lutsinar.

“Ia direkodkan di Lautan Pasifik, Hindi dan Atlantik dan banyak terdampar di pesisir pantai Terengganu pada musim tengkujuh dibantu oleh tiupan angin dan arus kuat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI