TAWAU – Polis menahan seorang lelaki dipercayai memperkosa remaja perempuan berusia 13 tahun yang juga cucu jirannya di sebuah rumah di daerah ini pada Rabu lalu.
Suspek berusia 30 tahun itu ditangkap pada pukul 7.50 malam selepas laporan polis dibuat oleh mangsa dengan ditemani neneknya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, perbuatan terkutuk suspek terbongkar selepas nenek mangsa menyedari cucunya dirogol.
“Apabila ditanya, remaja tersebut mengaku dia telah dicabul suspek sebanyak tiga kali selama dua bulan.
“Mangsa kemudian dengan ditemani penjaganya pergi ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan,” katanya.
Tambahnya, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau kemudian melakukan serbuan dan membuat tangkapan ke atas suspek. – KOSMO! ONLINE