LONDON – Misi Arsenal untuk merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool makin sukar apabila enam pemain senior tidak dapat diturunkan pada aksi menentang Aston Villa di Emirates awal pagi esok.
Antara pemain yang tidak dapat diturunkan adalah Gabriel Jesus, Bukayo Saka, Ethan Nwaneri, Riccardo Calafiori, Takehiro Tomiyasu dan Ben White kerana masih dibelenggu masalah kecederaan.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata, hanya Nwaneri daripada senarai enam pemain tersebut yang sudah pun menjalani latihan ringan, namun beliau enggan memberi jaminan pemain itu akan diturunkan ataupun tidak.
“Dia (Nwaneri) berada dalam keadaan baik dan sudah mula menjalani latihan ringan di atas padang. Saya gembira kerana pemulihannya sangat cepat dan harap kami boleh menggunakan khidmatnya secepat mungkin.
“Sementara itu, pemain-pemain lain masih belum dapat dipastikan, terutamanya Calafiori kerana kami tidak mahu dia mengalami kecederaan berulang. Kami masih memantau tahap kecergasannya,” katanya.
Meskipun tidak dapat menggunakan khidmat ramai pemain utama, namun jurulatih dari Sepanyol itu berharap pemain-pemainnya memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk terus mencabar Liverpool.
“Apabila ada peluang untuk merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga, kami tidak boleh mensia-siakannya. Kami perlu kekal konsisten dan bersedia sepenuhnya untuk menentang Aston Villa,” ujar Arteta. – AGENSI