PETALING JAYA – Sebatang pokok hujan-hujan (Enterolobium saman) berusia lebih 35 tahun yang tumbang di Jalan Pudu berhadapan Wisma Magnum di sini semalam akibat pereputan akar.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, kejadian pukul 10.40 pagi itu menyebabkan jalan tersebut ditutup sepenuhnya untuk kedua-dua hala selain menjejaskan sebuah kenderaan dinaiki dua wanita.
Katanya, mangsa hanya cedera ringan dan diberikan rawatan awal oleh bomba sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.
“Punca sebenar (pokok tumbang) akan dikenal pasti dalam masa terdekat. Pemeriksaan ke atas pokok-pokok berhampiran akan dilakukan bagi memastikan tahap keselamatannya,” katanya hari ini.
Dalam kejadian itu, seramai 40 pekerja DBKL bersama anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok.
“Laluan itu dibuka semula kepada pengguna pada pukul 2 petang,” katanya.
DBKL memaklumkan langkah mitigasi terhadap pokok berisiko tinggi diambil sejak Jun 2024 dengan pelantikan 21 kontraktor untuk menyelenggara pokok di seluruh Kuala Lumpur.
“Sehingga 31 Disember lalu, sejumlah 17,626 pokok dicantas dan dirawat di Kuala Lumpur. Penekanan khusus diberikan kepada pokok yang berada di jalan utama, pusat bandar, kawasan perumahan dan taman rekreasi,” katanya.
DBKL komited dalam memastikan pemilihan spesies pokok yang sesuai, ruang penanaman mencukupi dan penyelenggaraan berkesan sebagai langkah jangka panjang menjaga landskap Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE