KUALA LUMPUR – Polis membongkar sebuah makmal dadah haram dan merampas dadah disyaki kokain dan bahan kimia dianggarkan bernilai RM8 juta dalam tiga serbuan secara berasingan di sekitar Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, turut ditahan seorang lelaki warga Hong Kong berusia 27 tahun yang berperanan sebagai ‘tukang masak’ dalam pemprosesan dadah berkenaan.
Katanya, suspek ditahan di tempat pemunggahan di sebuah pusat perindustrian di Jalan Klang Lama, ketika sedang menolak troli yang mengandungi beberapa kotak berisi dadah.
“Serbuan itu dilakukan bersama dengan JSJN Bukit Aman dan JSJN Kontinjen Kuala Lumpur. Suspek ditahan menerusi serbuan pertama dan siasatan mendapati, dia turut memiliki dua pasport termasuk pasport Britsh.
“Dadah yang dirampas ini sedia untuk diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara,” katanya dalam sidang akbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Kok Chin berkata, sindiket berkenaan dipercayai mula aktif sejak awal Disember tahun lalu dan pihaknya juga sedang menyiasat sama ada ia mempunyai kaitan dengan kartel dadah Latin Amerika atau sindiket lain yang terlibat dalam pengedaran serta pemprosesan kokain.
“Polis menjumpai bersamanya bekas plastik lutsinar berisi cecair dan ketulan disyaki dadah jenis kokain anggaran seberat 2.57 liter (l) dan 2.19 kilogram (kg) selain pelbagai peralatan memproses dadah dalam kotak,” ujarnya.
Dipandu arah oleh suspek pada pukul 6.30 petang pula katanya, serbuan diteruskan di sebuah premis di lokasi yang lain sebelum menemui pelbagai peralatan dan bahan kimia.
“Antara ditemui adalah set tangki putih, tabung uji, serbuk yang bertulis ‘power aktive carbon’, sodium bicarbonate, cecair ‘denatured ethyl alcohol’, mesin pemanas air, mesin penyahairan, mesin penukar voltan dan beberapa tong berisi cecair di syaki untuk memproses dadah dengan anggaran berat 3,517 liter dan 104.9 kilogram.
“Pada pukul 7.40 malam pula, serbuan diteruskan di sebuah rumah di Segambut. Hasil pemeriksaan menjumpai bahan-bahan kimia disyaki untuk memproses dadah yang dianggarkan seberat 1 liter dan 3.2 kilogram,” ujarnya.
Katanya, semakan rekod lampau ke atas suspek yang memasuki negara sebagai pelancong itu mendapati, lelaki berkenaan tiada rekod jenayah dan negatif dadah menerusi saringan awal air kencing.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula semalam sehingga 22 Januari,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE