fbpx

Terbuka India: Tiga beregu tempah aksi separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANG JIE-EE WEI meneruskan rentak konsisten selepas melangkah ke separuh akhir Terbuka India. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Kem badminton negara mempamerkan aksi cukup baik pada Kejohanan Badminton Terbuka India apabila sudah memiliki tiga wakil setakat ini yang akan beraksi di separuh akhir esok.

Tiga wakil berkenaan adalah menerusi dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai serta beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah.

Pada pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Indira Gandhi, New Delhi hari ini, ketiga-tiga beregu itu mempamerkan aksi cukup baik ketika membenam lawan masing-masing.

Tang Jie-Ee Wei dipaksa bekerja keras sebelum menang 21-16, 21-17 ke atas beregu Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat manakala Soon Huat-Shevon mudah menewaskan Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang dari Taiwan 21-11, 21-15.

PEARLY (kanan) dan Thinaah.

Sementara itu, Pearly-Thinaah terpaksa bermandi peluh untuk menewaskan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 21-18, 21-19.

Menjelang separuh akhir esok, Soon Huat-Shevon dijadualkan bertemu beregu China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin manakala Tang Jie-Ee Wei akan bertemu sama ada Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun atau pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Pearly-Thinaah pula akan menantikan pemenang perlawanan antara dua beregu Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong dan Baek Ha Na-Lee So Hee.

Pada masa sama, Malaysia masih mengharapkan dua beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut meneruskan kemaraan ke separuh akhir apabila turun beraksi sebentar lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI