fbpx

Kenal di Tinder, Sanjna Suri pilih lelaki Belgium sebagai suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sanjna selamat bergelar isteri kepada jejaka berasal dari Belgium bernama Bram Demeulenaere.

KUALA LUMPUR – Selepas enam tahun bercinta, pelakon dan bekas ratu cantik, Sanjna Suri, 31, selamat bergelar isteri kepada jejaka berasal dari Belgium bernama Bram Demeulenaere.

Majlis perkahwinan tersebut diadakan secara tertutup di Bayswater KLCC pada pukul 2 petang tadi dan hanya dihadiri keluarga serta teman rapat.

Sanjna berkata, dia memilih Bram, 37 sebagai suami kerana keserasian selain lelaki itu memiliki banyak persamaan dengan bapanya.

“Dia ada kualiti sama seperti bapa. Dia bukan sahaja mampu menjaga saya dengan baik tetapi juga orang terdekat dengan saya. Paling menarik, pekerjaan dia dengan bapa saya juga lebih kurang sama.

“Bapa bekerja dengan bank dan Bram bertugas sebagai konsultan kewangan, bidang yang sama. Sikap dan kualitinya memang sama seperti bapa.

“Selain itu, dia boleh menyesuaikan diri dengan makanan dan budaya kita, itu yang menyebabkan saya jatuh hati padanya,” ujar Sanjna yang popular dengan filem Pulau.

Pemenang Miss Supranational Malaysia 2018 dan Miss Intercontinental Malaysia 2017 itu berkongsi, perkenalan mereka bermula menerusi aplikasi Tinder selepas dia menyertai pertandingan ratu cantik.

“Saya tidak menggunakan nama dan wajah yang sebenar dalam aplikasi itu. Sebulan selepas pertemuan pertama kami pergi bercuti di Bali, Indonesia. Semasa bercuti saya lihat kami sekepala dan sukakan cabaran, jadi di sana cinta berputik dan menjadi serius,” tutur Sanjna.

Selepas bergelar isteri, Sanjna akan meneruskan karier seni seperti biasa dan berharap suaminya dapat bekerja di Malaysia.

“Bram tidak menghalang malah, menggalakkan saya meneruskan kerjaya seni di sini. Cuma dia memang sukakan Malaysia dan merancang untuk tinggal di sini pada masa depan,” jelas Sajna.

Terdahulu pada Selasa lalu, Sanjna dan Bram telah mengadakan majlis Sangeet Night di Glasshouse Seputeh yang dihadiri oleh keluarga dan rakan artis antaranya Diana Danielle, Adeline Tsen, Nelissa Nizam, Julia Farhana dan Syamim Freida. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI