PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial dikenali sebagai Jason membeli apam balik piza berkotak-kotak sebagai tanda sokongan terhadap pemilik kedai tersebut yang sebelum ini ditimpa ujian akibat premis makanannya musnah dalam kebakaran pada Julai tahun lalu.
Menerusi perkongsian video di TikTok, Jason memaklumkan makanan tersebut diagihkan kepada pelajar Universiti Malaya untuk memberi semangat kepada mereka terus cemerlang dalam pelajaran.
“Lepas makan, anda mesti dapat CGPA 4.0,” selorohnya.
Kata Jason, dia mula mengenali pemilik apam balik piza itu pada Julai 2023 ketika membuat ‘review’ makanan tersebut dan turut bersedih apabila salah satu kedai kegemarannya musnah dalam kebakaran.
“Saya dan pasukan Selangor berganding bahu membantu membersihkan kedai tersebut yang musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran tahun lalu.
“Tetapi saya masih tidak puas hati dan terfikir untuk melakukan sesuatu yang istimewa selepas kedai tersebut beroperasi semula,” katanya.
Selepas sebulan kedai itu memulakan operasi, Jason hadir dengan memborong 36 hidangan apam balik piza sebagai kejutan istimewa buat peniaga tersebut. – KOSMO! ONLINE
@scaredtodie after eat korang better get cgpa 4.0 😤 #malaysiafood #foodreview #makanlokal #jasonfoodreview #scaredtodie ♬ original sound – Jason 🇲🇾