PETALING JAYA – Penyanyi Didi Astillah menegaskan hantaran yang dimuat naik dalam media sosial pada Disember lalu merupakan ‘teguran’ kepada aktres Ruhainies susulan isu kontroversi membabitkan kakaknya, Bella Astillah sebelum ini.
Menurut Didi dalam satu temu bual program hiburan, perkongsian tersebut adalah luahan perasaannya selepas membaca kenyataan Ruhainies berbaur sarkastik walaupun Bella sudah berdiam diri.
“Biasalah kita semua manusia biasa. Kadang-kadang beremosi dan sekadar meluahkan perasaan sahaja.
“Sekarang pun dah masuk tahun 2025, buka buku barulah. Cuma benda ini asyik berulang.
“Saya rasa benda ini perlu berhenti. Sebelum ini pihak kami sudah diam tetapi rupa-rupanya masih berterusan dan sebab itu saya buat hantaran tersebut agar semuanya dihentikan. Tak perlu dah nak cakap benda sama,” katanya.
Sebagai individu yang melihat penderitaan kakaknya sendiri, dia harus bertindak tegas agar Bella tidak terus menjadi mangsa buli pihak lain.
“Kami sekeluarga tahu Bella seorang yang lembut dan selalu pendam semuanya sendiri. Saya rasa bila dia terlalu diam dan baik, orang akan mudah pijak kepala dia.
“Saya tak mahu benda tu terjadi, jadi saya yang akan selalu ke depan untuk lindungi adik-beradik sendiri.
“Tetapi apabila berdiam diri, benda masih berlaku, semoga tahun ini semuanya baik-baik sahaja. Harap tiada lagi kenyataan tentang ‘kebenaran atau kesalahan yang akan terbongkar’.
“Berhentilah, orang cakap dah terang lagi bersuluh. Teruskan hidup dan jangan cakap apa-apa lagi,” ujarnya.
Dalam masa sama, Didi juga tidak kisah sekiranya terdapat komen yang mengatakan dia berlebih-lebih kerana lantang bersuara mempertahankan kakaknya.
Terdahulu, Didi pada 28 Disember lalu meluahkan rasa bengang terhadap Ruhainies sekali gus mempertahankan Bella yang didakwa menjadi mangsa fitnah.
Didi atau nama sebenarnya Dayang Nazillah Awang Astillah, 28, menafikan dakwaan bahawa Bella terbabit dalam merancang kes tangkap khalwat bekas suaminya, Aliff Aziz, bersama Ruhainies.
Kemelut antara mereka sebelum ini memuncak selepas Ruhainies dan Aliff ditangkap atas dakwaan khalwat pada 9 Mac tahun lalu.
Bella kemudian memfailkan cerai terhadap Aliff, dan pasangan itu sah berpisah pada 13 Jun. – KOSMO! ONLINE.