KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak merobohkan empat struktur haram yang dibina di atas rezab jalan awam sekitar kawasan Parlimen Bandar Tun Razak dalam satu operasi bersepadu kelmarin.
Menurut DBKL, operasi tersebut dijalankan bersama agensi-agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tenaga Nasional Berhad, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.
“Sebanyak empat unit struktur yang dibina di atas rezab jalan awam tanpa kelulusan telah dikenakan tindakan roboh serta-merta di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” kata kenyataan itu hari ini.
DBKL turut memaklumkan bahawa operasi sedemikian akan diteruskan secara berkala untuk memastikan kepatuhan terhadap peraturan dan undang-undang di kawasan pentadbirannya.
Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan https://adukl.dbkl.gov.my/. – KOSMO! ONLINE