PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuka tirai 2025 dengan penganjuran Kempen myPTPTN Anytime, Anywhere!.
Kempen ini bertujuan menggalakkan peminjam melaksanakan bayaran balik pinjaman secara konsisten pada bila-bila masa dan di mana sahaja dengan menggunakan platform myPTPTN.
Kempen yang telah bermula 1 Januari lalu sehingga 31 Mac 2025 ini terbuka kepada semua peminjam yang menggunakan aplikasi myPTPTN.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, peminjam boleh menggunakan aplikasi myPTPTN untuk membuat rundingan bagi pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.
“PTPTN juga melaksanakan pendekatan proaktif iaitu inisiatif #PTPTNBolehBincang dan #PTPTNSediaBantu bagi memudahkan peminjam berurusan berkaitan pinjaman dan bayaran balik dengan menyediakan pelbagai saluran perkhidmatan yang mudah, cepat dan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Dasuki, antara tujuan lain penganjuran kempen ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab mereka agar
kelestarian dana pendidikan dapat diteruskan untuk generasi akan datang.
Kempen myPTPTN Anytime, Anywhere! menyediakan hadiah wang tunai berjumlah RM25,000 untuk 25 orang pemenang dan setiap daripada mereka akan menerima RM1,000 dalam bentuk bayaran balik pinjaman PTPTN.
Kempen ini juga menawarkan kategori khas istimewa buat pelanggan baharu ke-2.5 juta yang berjaya memuat turun dan membuat
pengesahan identiti di myPTPTN serta berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM2,500 dalam bentuk bayaran balik pinjaman.
Peminjam PTPTN hanya perlu membuat bayaran balik pinjaman pendidikan dengan nilai minimum RM100 dalam tempoh kempen untuk melayakkan peminjam mendapat
10 cabutan dan penyertaan adalah secara automatik.
Selain itu, pengguna myPTPTN yang
baharu mendaftar dalam tempoh kempen layak mendapat 20 cabutan.- KOSMO! ONLINE