KUALA LUMPUR – Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli memberi fokus memulihkan kecederaan tangan kanan dialaminya dua bulan lalu sebelum menghadapi cabaran besar pada musim 2025.
Hakim yang kini di fasa akhir pemulihan, akan beraksi untuk tahun ketiga dalam saingan Piala Red Bull Rookies sekali gus meletakkan impian tinggi untuk mencipta kejutan di pentas tersebut.
Pelumba berusia 17 tahun itu enggan memikirkan mengenai kecederaan kerana fokus untuk kembali menunggang jentera secepat mungkin.
“Saya alami kecederaan ketika ingin berlatih di Sepang. Selepas pemeriksaan, doktor kata ambil masa tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya. Sekarang dah masuk dua bulan lebih, Alhamdulillah jari semakin baik.
“Tulang pada sendi jari hancur. Dalam tempoh terdekat ini, doktor akan keluarkan wayar dalam jari dan jalani rawatan sebelum dibenarkan berlatih semula.
“Buat masa sekarang, saya menjalani latihan kecergasan untuk memastikan stamina saya dalam keadaan baik. Insya-Allah, minggu depan saya akan cuba bawa motor semula,” katanya.
Hakim menamatkan saingan Piala Red Bull Rookies musim lalu di kedudukan keenam dan kini menyasarkan kelompok tiga teratas untuk melayakkan diri ke Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3.
“Saya tahu persaingan semakin sengit, dengan ramai pelumba baru yang hebat, tetapi peluang saya tetap ada di sana.
“Saya perlu berhati-hati kerana cabaran tertumpu kepada pelumba Sepanyol, Brian Uriarte yany menamatkan saingan di kedudukan kedua. Dia antara pelumba perlu saya awasi,” tambahnya.
Selepas ini, Hakim akan berpangkalan penuh di Tarragona, Sepanyop untuk meneruskan misi dalam perlumbaan Piala Red Bull Rookies musim ini. – KOSMO! ONLINE