MACHANG – Kakak kepada remaja yang maut selepas terjatuh dari tingkat 14 sebuah pangsapuri di Kuala Terengganu, Terengganu semalam terkilan apabila tidak sempat membeli telefon bimbit baharu untuk arwah bagi menggantikan telefonnya yang sudah rosak.
Norain Damia Rusaini, 20, berkata, dia tidak sempat tunaikan hajat adiknya, Muhd. Irham Tarmizi, 17, yang memintanya supaya membeli iPhone sebelum dia bertolak ke Kuala Terengganu bersama rakan-rakannya.
Menurutnya, arwah adiknya sempat masuk ke biliknya dan meminta bantuan membeli telefon baharu dengan menggunakan wangnya sendiri kira-kira pukul 9 pagi kelmarin.
“Saya tidak sempat membelinya kerana keluar berniaga dan pulang ke rumah pada lewat malam. Saya tidak sempat berjumpanya kerana dia sudah bertolak ke Kuala Terengganu kira-kira pukul 11 malam.
“Saya tahu dia akan bercuti bersama empat lagi rakannya yang sudah menunggu di pangsapuri yang sudah ditempah. Mereka dijangka pulang semula ke Kelantan esok,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kelaweh, di sini hari ini.
Norain Damia memberitahu, dia mengetahui kejadian yang menimpa adiknya itu kira-kira pukul 5 petang semalam selepas dihubungi oleh salah seorang rakannya yang ketika itu sudah berada Balai Polis Kuala Terengganu.
Menurutjya, dia terkejut kerana bimbang adiknya melakukan kesalahan melibatkan kes polis.
“Rakannya itu memaklumkan bahawa Muhd. Irham terjatuh dari tingkat 14 ke tingkat enam pangsapuri ketika sedang duduk di beranda sambil bermain telefon. Lima rakannya yang lain pula sedang tidur.
“Sebaik mengetahui kejadian itu, saya bersama ibu, Rohani Hussin, 52 bergegas ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nurzahirah, Terengganu untuk dibedah siasat,” katanya.- KOSMO! ONLINE