ROMPIN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa bayi dari Pulau Tioman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan hari ini.
Muhammad Emir Mikhyl Muhammad Izral Haziq berusia sebulan yang disyaki menghidap penyakit sepsis ditemani ibunya, Nur Anis Hidayah Mohd. Nazari dibawa menaiki Helikopter EC 725 AP milik TUDM.
TUDM dalam satu kenyataan berkata, penerbangan ihsan itu dikendalikan Mejar Khairul Ridhuan Ramlee dan Mejar Helmi Che Mat serta Kuartermaster Udara, Flait Sarjan Jilvanio Stephanus dan Sarjan Udara Muhammad Syafudeen Selamat.
Muhammad Emir selamat mendarat di Pangkalan Udara Kuantan dan dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan.
“TUDM mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua terlibat dalam menjayakan misi Mercy Flight termasuk anak kapal serta pihak yang memberikan
sokongan secara langsung atau tidak langsung.
“Semoga bayi tersebut dapat menjalani rawatan dengan lancar dan segera diberikan kesembuhan,” katanya. – KOSMO! ONLINE