PETALING JAYA – Ladang solar Eastfield dan Bunkers Hill berkapasiti 102 megawatt (MW) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di United Kingdom (UK) mempamerkan kepakaran Malaysia dalam memacu penyelesaian tenaga lestari di seluruh dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dalam lawatan kerja di negara berkenaan berkata, TNB memiliki, membangun dan mengendalikan aset tenaga boleh diperbaharui di seluruh UK dan Ireland.
“Syabas dan sekalung penghargaan kepada TNB,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata, beliau semasa berucap pada majlis pelancaran ladang solar berkenaan menekankan tentang kerjasama tenaga serantau melalui Grid Kuasa ASEAN akan memberi manfat kepada teknologi baharu dalam memajukan peralihan tenaga rantau ini.
Justeru, katanya, usaha dalam bidang itu termasuk di UK pasti bermanfaat disokong dengan kajian dan penerokaan TNB dan daya cipta daripada pemain korporat serta para profesional bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui (RE)
Kata beliau, impaknya kelak akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara dalam jangka masa panjang sekali gus meletakkan Malaysia sebagai destinasi industri peralihan tenaga utama.
Dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri berkata, misi lawatan kerja beliau ke London UK semalam diteruskan melalui pertemuan dengan beberapa syarikat utama di negara tersebut.
Kata Anwar, syarikat itu antaranya Standard Charted PLC, Jaguar Land Rover Automotive PLC, Raw Energy dan Yondr yang merupakan platform kritikal bagi memperbaharui dan menerokai peluang perniagaan, pelaburan dan perdagangan di Malaysia.
“Moga pertemuan ini dapat melonjakkan prestasi ekonomi negara ke tahap lebih baik, Insya-Allah,” katanya.
Anwar turut memaklumkan beliau dan delegasi sempat singgah di Battersea Power Station yang dimiliki oleh konsortium syarikat-syarikat Malaysia terdiri daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB), Sime Darby Property, SP Setia Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kata beliau, ketersediaan segala infra di situ mampu menarik dan mengembangkan pulangan pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) terbabit ke tahap lebih tinggi di masa hadapan. – KOSMO! ONLINE