PETALING JAYA – Perjalanan pelakon Trisha Ooi ke lokasi penggambaran di Janda Baik, Pahang hari ini berdepan dugaan apabila terkandas susulan berlaku kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang di Genting Highlands.
Tidak keseorangan, Trisha, 26, turut terkandas sejak awal pagi tadi bersama kru produksi drama dan pengurusnya yang sepatutnya ke Janda Baik dari Genting Highlands bagi menyambung penggambaran sebuah drama.
“Kami terperangkap di sini sejak awal pagi tadi. Semalam saya ada penggambaran di Genting Highlands dan hari ini sepatutnya sambung kerja di Janda Baik pula.
“Namun, nasib kurang baik, ketika kami nak turun dari Genting Highlands sekitar pukul 6 pagi tadi, ada pokok tumbang yang menghalang laluan.
“Pihak berkuasa maklumkan kami boleh sambung perjalanan pukul 9 pagi tadi tetapi ada tanah runtuh pula, laluan terhalang dan sehingga kini masih terperangkap,” katanya kepada Kosmo! Online.
Dia bagaimanapun memaklumkan semua kru yang ada bersama termasuk dirinya berada dalam keadaan selamat.
“Lega dan nasib baik juga kejadian tersebut tidak berlaku ketika berada di laluan yang terjejas.
“Kini kami kembali ke tempat penginapan semula dan tunggu sehingga dimaklumkan laluan tersebut selamat untuk dilalui atau tidak.
“Tolong doakan kami,” ujarnya.
Terdahulu, Trisha memuat naik Instagram Story memaparkan kejadian tanah runtuh yang menghalang laluan utama.
Dalam perkongsian tersebut, kelihatan pihak yang terlibat sedang melakukan kerja pembersihan. – KOSMO! ONLINE