TUMPAT – Ibu bapa kepada seramai 107 anak-anak pengikut GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang masih berada di lapan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diseru agar menuntut anak masing-masing.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sudah ada ibu bapa yang datang ke institusi terbabit untuk menuntut anak-anak mereka, namun berubah fikiran pada saat akhir berkemungkinan kerana menerima nasihat daripada pihak tertentu.
Menurutnya, difahamkan, mereka berbuat demikian sebagai langkah untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan atas kelewatan menyerahkan anak-anak ibu bapa masing-masing.
“Itu adalah satu tindakan tidak adil. Kita tidak menyerahkan anak-anak mereka sebelum ini kerana menunggu laporan polis dan mengikut proses perundangan yang sepatutnya.
“Jadi saya minta ibu-bapa yang berubah fikiran, tolong datang jumpa JKM dan tuntut anak masing-masing,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Integrasi Kasih Kampung Angkat Madani Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Sempena Majlis Penyerahan Projek Fizikal Kampung Angkat Madani di Pasir Pekan Tengah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nancy memberitahu, semua ibu bapa yang telah dipanggil oleh JKM layak untuk menjaga anak masing-masing dan tidak guna menyalahkan pihak kerajaan kerana semua agensi berkaitan melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang.
Menurutnya, JKM juga tiada agenda tersembunyi dalam perkara itu dan tidak mahu menahan anak-anak itu sebaliknya ia bertujuan untuk melindungi mereka.
“Ubah pemikiran kerana anak-anak ini memerlukan anda semua. Tolong fikirkan yang terbaik untuk anak-anak dan anda sendiri,”katanya.- KOSMO! ONLINE