fbpx

Pencemaran Sungai Gong: Lima individu lepas, bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima tertuduh (dari kiri) bersama peguam mereka selepas prosiding di Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto SHAKIR RADIN / KOSMO!

SELAYANG – Lima lelaki termasuk empat adik-beradik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan pencemaran air di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang lima tahun lalu.

Mereka ialah Yip Kok Wai, 58, Yip Kok Mun, 63, Yip Kok Kuin ,55, dan Yip Kok Weng, 65, yang merupakan empat pengarah syarikat dan adik-beradik serta pengurus syarikat sama, Ho Voon Leong, 64.

Hakim Nor Rajiah Mat Zin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie di akhir kes pendakwaan.

“Selepas mendengar dan membuat penilaian secara maksimum mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh atas dua pertuduhan itu. Oleh itu, kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” kata hakim itu.

Dengan keputusan itu, Hakim Nor Rajiah turut memerintahkan wang jaminan sebanyak RM400,000 dan pasport tertuduh dikembalikan.

Seramai 22 saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan bermula pada 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Datuk M. Redza Hassan dan Abdul Rashid Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka berlima didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari Bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn. Bhd. dilupuskan ke dalam alur air.

Bahan itu kemudian mengalir ke dalam Sungai Gong yang mungkin akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melepaskan bahan buangan dari bengkel sama tanpa lesen. Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 25(1) yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Kesalahan itu dilakukan di premis Yip Chee Seng & Sons Sdn. Bhd. Lot 4219, Jalan Batu Arang, Kampung Sungai Dua pada 2 hingga 3 September 2020.

Sebelum ini lima lelaki itu menarik nafas lega selepas dibenarkan ikat jamin sebanyak RM400,000 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas meneliti dan menimbang hujah yang dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI