JOHOR BAHRU – Warga emas yang maut bersama anak dan cucunya dalam kebakaran di Kampung Dato Bentara, Ulu Tiram di sini malam tadi disifatkan individu yang suka membantu orang susah.
Rakannya, Goh Leng Ber, 60, dari Taman Nora di sini berkata, walaupun mendiang Ng Geok Choo, 63, hidup serba kekurangan dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun dia kerap membantu penduduk yang memerlukan.
“Biasanya mendiang akan mengambil makanan dari restoran berdekatan termasuk sumbangan orang ramai untuk diberikan kepada orang tua dan keluarga miskin dengan menggunakan kereta.
“Dia juga akan meminjamkan kerusi roda untuk digunakan oleh golongan susah,” katanya ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2.46 pagi itu, selain Geok Choo, turut terkorban anak lelakinya, Lee Chiw Yong, 30, dan cucu perempuannya, Chen Si Jing, 11. Cucu lelakinya, Chen Yu Tong, 12, melecur dan dirawat di Hospital Sultan Ismail di sini.
Sementara itu, Ketua Kampung Baru Ulu Tiram, Goh Kim Soon, 56, memberitahu, mangsa mesra dipanggil Miss Wong yang memiliki dua anak sepatutnya menerima bantuan bakul makanan sempena Tahun Baharu Cina esok.
“Saya sepatutnya menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada mendiang di rumahnya, namun tidak kesampaian,” katanya.-KOSMO! ONLINE