JOHOR BAHRU – Dua pemuda disyaki dalang sindiket pengedaran serbuk ekstasi bernilai lebih RM4.03 juta diberkas bersama dua wanita dalam serbuan di dua buah kondominium mewah di bandar raya ini baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan dua lelaki tempatan dan dua wanita Vietnam berusia 20 hingga 30 tahun.
Polis turut merampas sebanyak 28.82 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 296 gram (g) ketamin dan 13.2g pil eramin 5 bernilai RM4.03 juta.
“Sdindiket menggunakan kondominium sebagai pusat pembungkusan dan stor simpanan dadah sebelum barangan tersebut diedar ke pasaran.
“Bekalan dadah yang diambil dari utara tanah air diadun dan dibungkus dalam peket kecil jenama minuman tempatan dan corak 3D bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Dadah itu dijual RM200 sebungkus dan dibancuh menggunakan air untuk diminum. Ini bermakna penagih memerlukan duit yang banyak untuk membeli dadah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Dadah itu boleh digunakan oleh lebih 80,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.
Polis merampas peralatan membungkus dadah, kereta, barang kemas dan wang tunai dengan nilai keseluruhan sebanyak RM38,275.90. Salah seorang suspek lelaki mempunyai rekod kes dadah.
“Kesemua suspek direman sampai hari ini, namun polis akan memohon lanjutan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-KOSMO! ONLINE