fbpx

Azzuha, Hotel Safwah di Mekah meterai kontrak RM20 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Malik (dua dari kanan) pada majlis pemeteraian perjanjian dengan pengurusan kanan Hotel Safwah baru-baru ini.

PETALING JAYA – Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd (Az Zuha) telah memeterai perjanjian bernilai RM20 juta dengan Hotel Safwah di Mekah bagi memperharui kontrak strategik bertujuan untuk memastikan para jemaah umrah dan haji bagi tahun 2025 menikmati keselesaan, kemudahan serta pengalaman premium sepanjang keberadaan mereka di Tanah Suci.

Ketua Pegawai Eksekutif Azzuha, Abdul Malik Abdul Raman berkata, ini juga adalah sebahagian daripada komitmen Azzuha untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dengan akses kepada penginapan yang selesa, lokasi yang strategik dengan  kemudahan bertaraf antarabangsa. 

Hotel Safwah, yang terletak berhampiran Masjidil Haram, telah lama menjadi pilihan utama Azzuha kerana reputasinya dalam memberikan perkhidmatan unggul kepada para jemaah.

Menurut beliau, pembaharuan kontrak ini bukan sahaja mencerminkan kepercayaan  terhadap Hotel Safwah sebagai rakan strategik, tetapi juga usaha syarikat untuk memastikan pelanggan mendapat pengalaman terbaik sepanjang menjalankan ibadah. 

 

“Ini adalah satu lagi langkah penting dalam memperkukuhkan kedudukan Azzuha sebagai peneraju dalam pelancongan Islam.

“Jemaah akan dapat menikmati perkhidmatan eksklusif, termasuk makanan yang disediakan, kemudahan pengangkutan, dan sokongan penuh daripada pasukan Azzuha sepanjang perjalanan ibadah mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Selain itu, Abdul Malik menjelaskan, Azzuha juga mengambil peluang tersebut untuk memperkenalkan pakej musim baharu yang menawarkan pelbagai pilihan kepada pelanggan.

Tambah beliau, pelancaran pakej baharu itu juga bersesuaian dengan ulang tahun syarikat yang ke-13 tahun ini.

“Kepada yang berminat boleh mendaftar sekarang untuk menunaikan ibadah umrah bermula Julai 2025 sehingga Februari 2026.

“Az Zuha sedang menawarkan pakej Umrah Syawal 2025 yang boleh dinikmati rakyat  dengan harga mampu milik dan penuh keselesaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI