ISKANDAR PUTERI – Forest City telah menarik minat ramai pelabur domestik dan antarabangsa selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan Zon Kewangan Khas Forest City (Forest City SFZ) pada 25 Ogos 2023.
Dengan termeterainya perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) baru-baru ini, Forest City telah diumum secara rasminya sebagai Flagship G inisiatif khusus dalam sektor perkhidmatan kewangan.
Perkembangan itu bakal meningkatkan lagi minat pelabur baik dari dalam mahu pun luar negara untuk melabur di kawasan itu.
Timbalan Presiden Country Garden Pacificview Sdn. Bhd., Syarul Izam Sarifudin berkata, sehingga kini sebanyak 11 syarikat pelabur domestik dan antarabangsa menunjukkan minat untuk beroperasi di Forest City SFZ.
Beliau berkata, susulan pengumuman yang dibuat, pihaknya melihat peningkatan minat dalam kalangan pelabur terhadap Forest City sekali gus komited untuk memacu pelaksanaan program itu dengan jayanya.
“Kami yakin 2025 akan terus memberi lebih banyak impak positif terhadap ekonomi dan pembangunan di Forest City yang juga telah diisytihar sebagai Zon Bebas Cukai pada 15 November lalu.
“Pengumuman Forest City SFZ, zon bebas cukai serta JS-SEZ bakal menjadikan kawasan ini nukleus kepada pertumbuhan ekonomi bukan Sahaja di Johor tetapi Malaysia secara amnya.
“Sehubungan itu, kami komited akan bekerjasama erat dengan kerajaan negeri dan persekutuan bagi memastikan segala perancangan dapat dibuat dengan lancar demi manfaat bersama,” katanya.
Forest City bakal menganjurkan lebih banyak seminar khususnya berkaitan topik berkepentingan buat pelabur dengan permulaan satu seminar berkaitan pelaksanaan dan insentif sifar cukai bagi pejabat tunggal akan diadakan pada 18 Januari ini.
Pada hari yang sama, Forest City akan melancarkan pra-tempahan fasa pertama unit komersial bagi tahun 2025 melibatkan unit komersial dan Small Office Flexible Office (SOFO) di Cerulean Bay.
Sementara itu, Syarul Izam memaklumkan, lawatan kerja luar negara kerajaan negeri Johor pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ke Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC) baru-baru ini telah menarik minat pelabur sektor kewangan terhadap Forest City SFZ.
“Lawatan ke DIFC adalah satu sesi pembelajaran dan perpindahan kepakaran khususnya buat Forest City. Kita bukan mahu menyaingi mereka sebaliknya mahu melihat apa yang boleh dipelajari.
“Manfaat yang terhasil daripada pelbagai inisiatif ini tidak hanya melibatkan pemain industri yang membuat pelaburan di Forest City, tetapi juga penduduk setempat melalui peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi sektor hiliran yang bakal terhasil.
“Hasil kunjungan ke Dubai, beberapa pihak telah menunjukkan minat membuat pelaburan dan membuka perniagaan mereka di FC-SFZ pada masa depan dan antara aspek teknologi terlibat termasuklah bidang Kecerdasan Buatan (AI).-KOSMO! ONLINE