PERSIAPAN pasukan Liga Premier, Selangor II untuk mengharungi musim baharu semakin lengkap selepas dilaporkan berjaya mendapatkan dua pemain import muda kelahiran Ghana, George Attram dan Jordan Ayimbila.
Perkara itu didedahkan oleh kelab berpangkalan di Ghana, Accra Lions FC yang menyatakan kedua-dua pemain itu akan menyarung kelab feeder Gergasi Merah secara pinjaman.
“George Attram yang bermain sebagai penyerang dan Jordan Ayimbila di posisi pertahanan akan menyertai pasukan Liga Malaysia, Selangor secara pinjaman pada musim ini.
“Ini adalah kali pertama dua pemain ini melebarkan sayap ke Asia dan mereka dijangka mewakili pasukan feeder, Selangor II di pentas Liga Premier, kami mengucapkan selamat maju jaya buat Attram dan Ayimbila,” kata Accra Lions menerusi ciapan Twitternya semalam.
Difahamkan, Accra Lions yang dikendalikan oleh pengendali Jerman, Rainer Kraft memiliki hubungan akrab dengan ketua jurulatih Selangor, Karsten Neitzel dan pengarah teknikal, Michael Feichtenbeiner.
Justeru, proses untuk melakukan perpindahan ini sangat mudah terutama apabila Attram dan Ayimbila memiliki ciri-ciri falsafah bola sepak yang cuba diterapkan oleh skuad Gergasi Merah musim ini.
Malah, usia Attram yang baru berumur 20 tahun dan Ayimbila (21 tahun) sesuai dengan prospek pasukan feeder Selangor II yang dikendalikan oleh Feichtenbeiner.
Selain itu, Selangor II turut dilaporkan sedang memburu pemain bawah 23 tahun (B-23) Myanmar, Hein Htet Aung untuk mengisi kuota import Asia Tenggara musim ini.