JOHOR BAHRU – Identiti tiga mangsa rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Beladau 43, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram atau dikenali sebagai Kampung Oren di sini sudah dikenal pasti.
Mangsa yang ditemui rentung ialah Ng Geok Choo, 63, Lee Chiw Yong, 30, serta Chen Si Jing, 11.
Manakala seorang lagi mangsa yang terselamat ialah Chen Yu Rong, 12.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kesemua mangsa terlibat terdiri daripada seorang warga emas bersama anak serta cucunya.
Katanya, kesemua mangsa rentung dan cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk bedah siasat serta rawatan.
Difahamkan, dalam kejadian pada pukul 2.46 pagi itu, kesemua mangsa sedang nyenyak tidur di dalam sebuah rumah didiami mereka di Kampung Oren, Ulu Tiram di sini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Rafie Ahmad Sareng berkata, seramai 24 anggota beserta lima buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Tiga mangsa ditemukan maut dengan kesan melecur di seluruh badan dan seorang lagi remaja lelaki terselamat namun turut tercedera di bahagian muka dan tangan ditemukan di ruang tamu.
“Anggota terlibat bertindak memecahkan grill pintu hadapan untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.-KOSMO! ONLINE