PETALING JAYA – Program tahunan pelancongan yang popular sehingga promosinya tersebar di peringkat antarabangsa telah mendapat sambutan baik daripada pelancong luar negara malah menjadi penyumbang kepada pendapatan negeri Sabah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pelancongan Sabah, program Mount Kinabalu International Climbathon adalah salah satu pertandingan pendakian tahunan yang merupakan acara utama dalam kalendar acara di negeri bawah bayu itu.
Climbathoni terkenal dengan laluan yang mencabar dengan pemandangan yang menakjubkan di Gunung Kinabalu iaitu puncak tertinggi di Malaysia.
Dijadualkan pada Oktober 2025, perlumbaan Climbathon ini meliputi jarak sejauh 26 kilometer dengan sebahagian besar melibatkan pendakian dan penurunan curam di kawasan sukar.
“Acara ini terbuka kepada atlet elit dan pelari amatur dari seluruh dunia yang mencari cabaran yang unik dan tidak dapat dilupakan,” katanya.
Pelancongan Sabah memperincikan juga beberapa lagi destinasi pelancongan yang menjadi tarikan pelancong asing ke Malaysia, antaranya adalah
Semporna Regatta Lepa pula adalah pesta air meriah yang diadakan setiap tahun di pantai timur Semporna, Sabah.
Ia meraikan tradisi budaya yang kaya bagi kumpulan etnik Bajau Laut, juga dikenali sebagai Sea Gypsies.
Regatta Lepa adalah pameran warisan maritim, kesenian budaya dan semangat komuniti yang bertenaga. Kemuncak Regatta Lepa yang paling menakjubkan ialah perarakan perahu ‘lepa’ yang direka dengan indah dan berwarna-warni.
Kapal layar tradisional ini, sering dihiasi dengan ukiran yang rumit dan warna-warna terang, meluncur dengan gah di perairan, diiringi dengan tarian tradisional Bajau yang berirama dan mempesonakan yang dikenali sebagai Igal-Igal.
Destinasi lain yang mengujakan adalah Lembangan Maliau atau dikenali Maliau Basin atau sering dikaitkan dengan The Lost World of Sabah’.
Lembangan Maliau adalah hutan hujan yang luas, terpencil dan dipenuhi panorama menghijau yang terletak di Tawau dan ia terkenal dengan dengan Air Terjun Maliau setinggi tujuh tingkat yang berwarna tannin, dan Tasik Linumunsut iaitu tasik kawah yang indah tersembunyi di dalam lembangan.
Sebuah lagi kawasan mesra alam yang baharu di Sabah adalah Utan Rainforest Lodge iaitu sebua penginapan eko yang luar biasa dan terletak di tengah-tengah Rizab Rimba Dara Sungai Kapur, berhampiran Rizab Hidupan Liar Tabin yang terkenal di Lahad Datu.
Dibuka tahun lalu, Utan Rainforest Lodge menawarkan peluang yang tiada tandingannya untuk menyelami keindahan dan biodiversiti hutan hujan Borneo serta ia menyediakan tempat percutian yang tenang dan semula jadi, yang mana anda boleh menikmati pengalaman pertemuan hidupan liar dan burung yang mengasyikkan.
Selain Gunung Kinabalu, satu lagi puncak megah menanti pelancong yang meminati aktiviti pendakian adalah Gunung Trusmadi yang terkenal sebagai lokasi yang pernah popular sebagai tempat memburu oleh penduduk tempatan.
Memiliki ketinggian 2,642 meter dari paras laut, Gunung Trusmadi ialah gunung kedua tertinggi di Sabah dan Malaysia yang mana ia menawarkan pendakian yang lebih curam dan berbatu.
Bagi yang meminati percutian berasaskan pantai dan lautan, Pulau Sipadan dapat memenuhi keperluan pelancong kerana ia terkenal sebagai salah satu destinasi menyelam utama dunia dan menerima pujian oleh ahli oseanografi lagenda, Jacques Cousteau.
Pulau lautan ini merupakan syurga bagi kepelbagaian biologi marin, menarik minat penyelam dan peminat snorkelling dari seluruh dunia.
Sungai Kinabatangan pula merupakan sungai terpanjang di Sabah yang mengalir melalui dataran banjir yang luas dengan mewujudkan ekosistem yang unik dan penting.
Kinabatangan adalah syurga bagi biodiversiti, menyokong kehidupan pelbagai flora dan fauna yang luar biasa. Monyet proboscis, harimau dahan, gajah borneo dan orang utan adalah antara hidupan liar yang ada di Kinabatangan.
Pelayaran di sepanjang sungai selalunya memberi pelancong berpeluang untuk melihat hidupan liar Borneo Big 5 antaranya gajah Borneo, orang utan, monyet proboscis, burung kenyalang dan buaya tembaga.
Lebih menarik, pelancong boleh berkunjung ke Kampung Budaya Borneo dengan menempatkan lebih 35 kumpulan etnik dan kira-kira 200 kumpulan sub-etnik di Sabah.
Perkampungan Budaya Borneo adalah perkampungan budaya terbesar di Sabah yang menawarkan pengalaman unik dan mengasyikkan dalam pelbagai budaya orang asli Borneo.
Muzium hidup ini mempamerkan rumah tradisional, adat resam dan gaya hidup enam kumpulan etnik yang berbeza di Sabah antaranya Murut, Lundayeh, Rungus, Kadazan Penampang, Bajau dan Dusun Papar.
Tanjung Simpang Mengayau, yang terletak di bahagian paling utara Sabah terkenal dengan pantai berpasir putih juga bakal menawarkan satu pengalaman percutian yang menakjubkan.
Lokasi ini terletak berhampiran dengan pantai Kalampunian dan Tanjung Simpang Mengayau juga dikenali sebagai ‘Tip of Borneo’.
Selain itu, Tamu Besar Kota Belud Tamu Besar Kota Belud juga perlu dikunjungi dalam bulan Oktober setiap tahun yang mana ia sentiasa mendapat menarik perhatian ramai pengunjung dari dekat dan jauh.
Tamu Besar adalah acara yang meriah dengan persembahan kebudayaan, sukan tradisional dan pasar yang pelbagai yang mana masyarakat Bajau tempatan berkumpul untuk mempamerkan kekayaan warisan mereka, daripada tarian tradisional dan muzik kepada kraftangan yang kreatif dan masakan yang lazat. – KOSMO! ONLINE