PENJAGA gol berdarah kacukan Malaysia, Julian Johan Bechler percaya keputusannya untuk berhijrah mewakili pasukan Kuala Lumpur United (KLU) adalah tepat dalam usaha mencari minit permainan kompetitif pertama pada saingan Liga Malaysia (Liga M).
Pemain kelahiran Munich, Jerman itu sudah berada di Malaysia sejak tahun 2019 apabila berjaya mendapat kontrak selama dua musim bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bagaimanapun, Julian mengakui dia telah menjalani latihan bersama pasukan feeder, JDT II selama dua tahun tetapi masih belum membuat sebarang kemunculan kompetitif.
“Saya pernah bermain dalam aksi persabahatan dan menjalani latihan bersama skuad JDT II, namun belum rezeki saya untuk membuat debut dalam kancah Liga M.
“Kini, sudah tentu impian saya untuk berusaha merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan KL kerana impian saya adalah untuk beraksi di peringkat tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, penjaga gol berusia 20 tahun itu percaya sesi latihan yang direncanakan oleh ketua jurulatih, Bojan Hodak memiliki intensiti sama seperti ketika bersama skuad Harimau Selatan.
“Saya sudah bersama pasukan sejak lebih seminggu dan intensiti sesi latihan di sini sangat tinggi selain cukup kompetitif. Malah, saya berusaha untuk mendapatkan kecergasan penuh kerana saingan sangat sengit.
“Secara keseluruhan, saya anggap keputusan berhijrah ke KL sangat tepat kerana inilah kelab yang memiliki falsafah dan sesuai untuk memberi peluang buat pemain-pemain muda,” katanya.