KUALA LUMPUR – Aksi bertenaga ditampilkan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Indira Gandhi sebentar tadi, bekas juara dunia itu tidak berdepan banyak masalah untuk menyingkirkan pasangan China, Xie Hao Nan-Zheng Wei Han menerusi keputusan straight set 21-10, 21-18.
Kejayaan mara ke suku akhir pastinya mengubat kekecewaan Aaron-Wooi Yik selepas mereka sekadar menamatkan aksi Terbuka Malaysia minggu lalu di pusingan kedua apabila tewas 14-21, 18-21 kepada Lee Fang Chih-Lee Fang Jen dari Taiwan.
“Saya fikir permainan kami sudah semakin baik jika dibandingkan dengan semalam dan minggu lepas. Kami secara perlahan-lahan sudah kembali mendapatkan momentum tetapi masih ada ruang yang boleh diperbaiki.
“Kami juga sedang menyesuaikan diri (cuaca sejuk) di sini saya rasa ia semakin baik,” kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.
Menjelang suku akhir esok, Aaron-Wooi Yik akan menantikan pemenang perlawanan antara beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dan Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dari Thailand.
Dalam pada itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah turut meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas pasangan lawan dari China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian menarik diri ketika kedudukan 14-4 di set pertama.
Difahamkan, Shu Xian mengalami kecederaan lengan dan tidak dapat meneruskan perlawanan, sekali gus menghadiahkan kemenangan percuma buat Pearly-Thinaah yang akan berdepan beregu Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto esok. – KOSMO! ONLINE