KUALA LUMPUR – Langkah perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao pada Kejohanan Badminton Terbuka India tersekat di pusingan kedua selepas tewas kepada pemain China, Weng Hong Yang sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Indira Gandhi, New Delhi itu, Jun Hao gagal mengulangi prestasi semalam apabila akur dengan kekalahan straight set 18-21,12-21 dalam tempoh 44 minit.
Keputusan itu menyaksikan Jun Hao yang juga bekas juara remaja Asia sudah tewas dua kali kepada Hong Yang dalam tiga perlawanan dengan pertemuan terakhir pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) tahun lalu turut memihak pemain China berkenaan.
Sebagai rekod, Jun Hao merupakan satu-satunya wakil negara yang beraksi dalam acara perseorangan di Terbuka India selepas pemain profesional, Lee Zii Jia terpaksa menarik diri akibat kecederaan.
Terdahulu, pada pusingan pertama yang berlangsung semalam, Jun Hao mempamerkan aksi cemerlang apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 18-21, 21-17, 21-17 ke atas pilihan kelima, Li Shi Feng.
Sementara itu, Hong Yang mendapat laluan lebih mudah mara ke pusingan kedua selepas diberikan kemenangan percuma ke atas pemain tuan rumah, K. Srikanth yang terpaksa menarik diri akibat penerbangannya ditunda.
Selepas ini, Jun Hao akan melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan Indonesia Masters yang akan berlangsung di Jakarta bermula 21 hingga 26 Januari nanti. – KOSMO! ONLINE