fbpx

K2

Sinaran UV berbahaya undang masalah kulit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SINARAN UV berbahaya boleh menyebabkan kulit muka menjadi kusam. – GAMBAR HIASAN

SEBAGAI sebuah negara beriklim khatulistiwa, sudah semestinya Malaysia terdedah dengan sinaran ultraungu (UV).

Oleh itu, kita perlu melindungi kulit daripada sinaran UV berbahaya untuk mengekalkan kesihatan kulit dalam jangka masa panjang.

Sinaran UV ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu UVA, UVB dan UVC.

Lebih membimbangkan, kajian baru-baru ini mendedahkan bahawa hampir separuh daripada rakyat Malaysia tidak menggunakan pelindung matahari atau sunscreen dengan kerap.

Ini boleh mendedahkan mereka kepada risiko pelbagai masalah kulit seperti kulit terbakar, penuaan kulit pramatang iaitu kulit menua sebelum usia sebenar serta kanser kulit.

Malah, Jabatan Registri Kanser Kebangsaan (NCR) melaporkan, terdapat peningkatan kadar insiden kanser kulit.

Ini menunjukkan keperluan penting untuk menyebarkan lebih kesedaran dan langkah pencegahan yang baik bagi menangani masalah itu.

Pakar Perunding Dermatologi di Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr. Nur Ashikin Ahmad berkata, penggunaan pelindung matahari harus menjadi rutin harian setiap individu tanpa mengira sama ada mereka berada di luar atau dalam rumah.

Menurutnya, sinar UVA boleh menembusi tingkap, lalu masuk ke dalam kulit, sekali gus menyumbang kepada penuaan kulit pramatang dan pigmentasi.

“Selain UVA, sinaran UV juga termasuk sinaran UVB dan UVC.

“Walaupun sinaran UVC sebahagian besarnya ditapis oleh lapisan ozon, sinaran UVB kekal menjadi kebimbangan kerana ia merupakan punca utama masalah kulit terbakar dan kanser kulit,” katanya,

Selain itu, Dr. Nur Ashikin juga berkongsi mengenai bahaya ‘blue light’ daripada peranti digital.

Kajian menunjukkan bahawa cahaya ini boleh menembusi lebih banyak ke dalam kulit berbanding sinaran UVB, seterusnya mempercepatkan penuaan kulit.

Terangnya, salah satu cara paling berkesan untuk melindungi diri anda daripada sinaran UV berbahaya adalah dengan menggunakan pelindung matahari serta memahami bahawa Sun Protection Factor (SPF) adalah kunci tepat untuk menjaga kesihatan kulit.

“SPF mengukur keberkesanan pelindung matahari dalam menghalang kemerahan kulit yang disebabkan oleh UVB.

“Dalam iklim panas di Malaysia, SPF minimum yang disyorkan untuk kegunaan harian adalah SPF30,” jelasnya.

Dalam pada itu, penggunaan pelindung matahari disyorkan apabila indeks UV diramalkan mencapai tiga atau lebih.

DI Malaysia, indeks UV akan mencapai tahap tertinggi di antara pukul 10 pagi hingga 4 petang.

Di Malaysia, indeks UV akan mencapai tahap tertinggi di antara pukul 10 pagi hingga 4 petang dengan paras UV diklasifikasikan sebagai ‘tinggi’ hingga ‘sangat tinggi’ pada waktu tengah hari.

Bagaimanapun, Dr. Nur Ashikin menambah bahawa SPF50+ lebih sesuai digunakan jika anda berada di luar dan terdedah secara langsung kepada sinaran matahari.

Beliau juga mencadangkan untuk memakai pelindung matahari 15 hingga 30 minit sebelum terdedah kepada sinaran matahari atau melakukan sebarang aktiviti.

Walaupun begitu, umum perlu mengetahui bahawa tahap SPF yang tinggi tidak bermakna anda tidak perlu menggunakan pelindung matahari dengan kerap.

Ini kerana, pelindung matahari harus digunakan semula setiap dua hingga empat jam terutamanya selepas berpeluh atau berenang.

Ini memandangkan peluh, geseran dan mencuci muka dengan air boleh mengganggu keberkesanan pelindung matahari serta mengurangkan SPF.

Sementara itu, dengan adanya pelbagai jenis pelindung matahari di pasaran, memahami perbezaannya adalah penting untuk mendapatkan perlindungan matahari yang berkesan.

Pelindung matahari biasanya dikategorikan sebagai jenis fizikal atau kimia. Ia selalunya boleh dikenal pasti melalui senarai ramuan pada pembungkusan produk.

Pelindung matahari jenis fizikal biasanya menyenaraikan zink atau titanium oksida sebagai bahan utama. Ia berfungsi dengan membentuk penghalang bagi memantulkan sinaran UV.

Pelindung jenis ini sesuai untuk mereka berkulit sensitif, tetapi mungkin meninggalkan kesan putih terutamanya pada warna kulit lebih gelap.

Pelindung matahari jenis kimia pula selalunya mengandungi bahan seperti avobenzone, oxybenzone dan octinoxate. Ia berfungsi dengan menyerap sinaran UV dan menukarkannya kepada haba.

Ia biasanya lebih ringan dan senang diratakan pada kulit dan menawarkan daya tarikan estetik lebih baik. Namun, ia boleh menyebabkan kerengsaan kepada mereka yang mempunyai kulit sensitif.

Walaupun ramai yang menumpukan pada perlindungan kulit muka, namun Dr. Nur Ashikin menekankan kepentingan melindungi kawasan kulit lain yang sering terdedah seperti leher, tangan dan kaki.

Menurutnya, pendedahan yang berpanjangan kepada sinaran UV boleh menyebabkan masalah kulit seperti kedutan, hiperpigmentasi dan kanser kulit di kawasan yang sering diabaikan itu.

“Jika dibiarkan, kerosakan UV boleh menjadi bertambah teruk, lalu menyumbang kepada risiko yang sama tanpa mengira bahagian badan.

“Kawasan lengan dan kaki juga merupakan antara area biasa untuk pembentukan melanoma serta kanser kulit,” katanya.

Tambahnya, penggunaan pelindung matahari yang kerap pada kawasan ini dapat membantu mengekalkan tona sekata serta keanjalan kulit.

Biarpun cahaya matahari penting untuk pengeluaran vitamin D, namun pendedahan berlebihan tanpa sebarang perlindungan atau perlindungan tidak mencukupi boleh membawa kepada kesan berbahaya.

Jadi, Dr. Nur Ashikin mencadangkan supaya pendedahan cahaya matahari pada awal pagi atau lewat petang untuk sintesis vitamin D yang optimum.

“Jumlah masa yang anda perlukan di bawah sinar matahari bergantung kepada masa, hari, musim, lokasi dan warna kulit.

“Individu berkulit cerah mungkin memerlukan pendedahan langsung kepada matahari selama 10 hingga 20 minit pada kulit yang tidak dilindungi.

“Manakala bagi individu berkulit gelap mungkin memerlukan pendedahan matahari di antara lima hingga 30 minit kerana melanin mengurangkan keupayaan kulit untuk menghasilkan vitamin D.

“Kepercayaan bahawa individu dengan warna kulit lebih gelap tidak memerlukan pelindung matahari kerana melanin mempunyai fungsi perlindungan kulit semula jadi adalah tidak tepat,” jelasnya.

Tambahnya, melanin hanya memberikan perlindungan separa.

Bagaimanapun, pelindung matahari masih diperlukan kerana fungsi perlindungan semula jadi melanin jauh di bawah SPF30+ .

Di Malaysia, cuaca panas sentiasa, jadi perlindungan matahari melalui penggunaan pelindung matahari harus menjadi sebahagian daripada rutin harian.

Dengan memahami risiko pendedahan UV, memilih pelindung matahari yang betul dan memastikan penggunaan konsisten, rakyat Malaysia boleh melindungi kesihatan kulit mereka.

Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko penyakit seperti penuaan kulit pramatang dan kanser kulit. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI