fbpx

19,000 pencarum Perkeso terima manfaat rawatan dialisis sejak 1999

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Steven Sim berucap pada perasmian Pusat Dialisis Perkeso Cawangan Kuala Lumpur di sini, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seramai 19,000 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menerima manfaat kemudahan rawatan dialisis sejak inisiatif itu diperkenalkan pada Januari 1999.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata peningkatan jumlah pesakit ini adalah ketara dengan purata lonjakan 16 peratus pesakit buah pinggang setiap tahun dalam kalangan pencarum Perkeso.

Katanya, berdasarkan data tahunan, purata 2,550 pencarum Perkeso memerlukan rawatan dialisis setiap tahun.

“Mengikut data Perkeso, perbelanjaan untuk kemudahan bantuan dialisis hanya RM1.12 juta ketika mula diperkenalkan pada Januari 1999.

“Pada tahun lepas (perbelanjaan) melonjak hampir RM350 juta dan tahun ini dijangka mencecah hingga RM400 juta,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Dialisis Perkeso Cawangan Kuala Lumpur, hari ini.

Ujarnya, bagi menampung keperluan yang semakin meningkat, Perkeso telah membuka pusat dialisis kelima di Wisma Perkeso Kuala Lumpur, yang mula beroperasi pada November lalu.

“Pusat ini dilengkapi enam mesin dialisis yang dapat digunakan oleh 18 pesakit dalam tiga sesi sehari.

“Pengoperasian pusat ini diharap dapat membantu memenuhi keperluan rawatan yang kian meningkat,” jelasnya.

Bagi memperluaskan kapasiti rawatan, Steven Sim berkata, Perkeso telah memohon kelulusan daripada Kementerian Kesihatan menambah 12 mesin dialisis di pusat tersebut.

“Kementerian juga merancang untuk membuka lebih banyak pusat dialisis di seluruh negara, termasuk satu lagi fasiliti yang dijangka beroperasi di Pulau Pinang pada Julai 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI