SKUAD Harimau Malaya kini memiliki ramuan terbaik untuk kembali menjadi ‘gergasi’ bola sepak serantau selepas merekrut barisan kejurulatihan dan staf bertaraf dunia dalam usaha memantapkan revolusi pasukan bermula tahun ini.
Pandangan tersebut disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend yang melihat persedian rapi serta pelan jangka panjang mampu untuk menaikkan semula martabat bola sepak tempatan.
“Kita ada pelan jangka pendek, pelan pertengahan dan pelan jangka panjang. Kita tahu tugasan pertama adalah kempen kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac depan menentang Nepal dan ia amat penting buat pasukan kebangsaan.
“Justeru, sebagai langkah awal, kita (pengurusan) mengumpulkan barisan kejurulatihan terbaik dunia seperti Dr. Craig Duncan selaku Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan.
“Kita juga melantik (ketua jurulatih) Peter Cklamovski yang saya anggap sebagai salah seorang jurulatih terbaik bagi skuad negara di dunia. Saya harap mereka berada di sini untuk melengkapkan projek jangka panjang pasukan,” katanya.
Sementara itu, ahli korporat yang juga bekas pemain profesional dari Kanada itu mengakui perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan budaya bola sepak tempatan yang dilihat agak bergelut sebelum ini.
“Saya sangat teruja apabila diberi peluang untuk bersama pasukan Harimau Malaya yang saya anggap seperti ‘gergasi’ yang sedang tidur.
“Pasukan ini sudah mempunyai asas yang baik, tetapi mungkin ada sebab kenapa ranking Harimau Malaya masih di kedudukan ke-132 dan skuad remaja gagal melepasi pusingan akhir Piala Asia,” katanya.