LANGKAWI – Kementerian Kerja Raya meluluskan sebanyak 11 projek pembangunan bernilai RM209.37 juta di pulau peranginan itu tahun ini.
Timbalan menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek tersebut melibatkan pelbagai aspek di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) Rolling Plan Kelima (RP5).
“JKR (Jabatan Kerja Raya) akan memulakan 11 projek pembangunan yang bernilai RM209.37 juta di Langkawi antaranya bangunan tambahan SK (Sekolah Kebangsaan) Kelibang bernilai RM26 juta, bangunan tambahan SK Ulu Melaka bernilai RM20 juta serta bangunan tambahan bagi SK Padang Matsirat bernilai RM20 juta,” katanya di Kampung Padang Lalang, Ayer Hangat, di sini, hari ini.
Tambahnya, KKR juga telah meluluskan projek pembinaan pejabat pentadbiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Langkawi (RM6.4717 juta), pengubahsuaian bangunan baharu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Langkawi (RM2.1 juta), menaik taraf Observatori Negara Langkawi (ONL), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) (RM7.8 juta).
Bagi sektor pelancongan pula, beliau berkata, sebuah jambatan baharu menghubungkan Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting akan dibina dengan kos bernilai RM90 juta, dengan pembinaan infrastruktur dan kerja berkaitan di Gua Langsir, Kilim Karst Geoforest Park serta pembinaan fosil walk di Pulau Anak Tikus dan Pulau Langgun.
Tambahnya, projek pembinaan sedia ada seperti pembinaan bangunan tambahan Hospital Sultanah Maliha dan Kuarters KKM adalah mengikut jadual dan dijangka siap pada hujung tahun ini. – KOSMO! ONLINE