fbpx

Gencatan senjata buka banyak bantuan ke Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wisma Putra.

PETALING JAYA – Malaysia menyifatkan gencatan senjata dipersetujui antara Hamas dan Israel merupakan langkah pertama yang penting untuk menamatkan konflik 15 bulan yang telah mengorbankan banyak nyawa rakyat Palestin.

Menerusi kenyataan Kementerian Luar Negeri (KLN), perjanjian gencatan senjata tersebut dan pembebasan tebusan serta mereka yang ditahan sewenang-wenangnya sebagai suatu perkembangan amat dialu-alukan.

“Ia langkah pertama yang penting untuk menamatkan konflik selama 15 bulan yang telah mengorbankan begitu banyak nyawa, penderitaan rakyat Palestin dan kemusnahan Gaza.

“Gencatan senjata tersebut akan membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang baharu, amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin yang masih berada di Gaza, terutama ketika musim sejuk yang sangat mencabar ini,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

Sehubungan itu, Malaysia memuji Kerajaan Republik Arab Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat serta pengantara masing-masing atas kesungguhan dan komitmen mereka dalam mencapai perjanjian ini.

“Usaha kini perlu ditumpukan kepada pelaksanaan yang berkesan dan sepenuhnya mengikut komitmen telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat.

“Malaysia kekal teguh bersolidariti dengan Palestin. Malaysia melihat peluang bagi masyarakat antarabangsa untuk bersatu bagi mencari penyelesaian kekal kepada salah satu konflik yang paling lama berlarutan di dunia,” menurut KLN.

Dalam pada itu, Malaysia dengan tegas menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mewujudkan sebuah Negara Palestin merdeka serta berdaulat.

Ia berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya serta matlamat utama untuk mencapai keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Asia Barat.

Terdahulu, Perdana Menteri Qatar, Mohammed Al Thani mengumumkan persetujuan gencatan senjata antara Israel dan Hamas susulan laporan awal mengenainya oleh bakal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Mohammed Al Thani juga mengesahkan pembebasan 33 tebusan Israel semasa fasa pertama gencatan senjata Gaza. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI