KUANTAN – Polis menahan seorang wanita berusia 42 tahun yang menyamar sebagai pemilik kedai emas dan memperdaya seorang pekerja sebuah butik menyerahkan barang kemas untuk ditukar dengan barang kemas baharu.
Dalam kejadian pada 14 November lalu tular dalam media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang pekerja sebuah butik di Jaya Gading di sini menyerahkan barang kemas dipakainya kepada seorang wanita.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek ditahan di Slim River Perak pada 9 Januari lalu selepas dikesan melalui CCTV.
“Susulan itu juga polis turut menahan seorang lelaki berusia 43 tahun pada hari sama di Kuantan kerana disyaki menemani suspek pertama memperdaya mangsa.
“Pada 14 Januari berpandukan maklumat daripada suspek lelaki, rampasan barangan dibuat di sebuah apartmen di Bukit Tinggi, Bentong terdiri pelbagai barangan disyaki dicuri seperti lima utas jam tangan, tiga utas rantai leher, tiga bentuk cincin emas dan juga baju di pakai suspek wanita dalam kejadian di Jaya Gading, pada 14 November lalu,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya berdasarkan siasatan awal, mangsa yang berusia 18 tahun dan bekerja di sebuah butik di Jaya Gading di sini telah didatangi suspek pada pukul 4 petang pada 14 November lalu yang bertanyakan mengenai barangan kosmetik sambil bertanyakan barang kemas dipakai mangsa.
Katanya suspek wanita berkenaan memberitahu mangsa dia ada membuka kedai emas lalu memperdaya mangsa menyerahkan satu gelang emas, satu rantai emas dan satu cincin emas dengan berjanji akan menukarkannya dengan barang kemas baharu selain akan memulangkan barangan kemas berkenaan dalam beberapa minit.
“Mangsa melihat suspek menggenggam barang kemas miliknya di tangan kanan dan bergegas keluar daripada kedai lalu menaiki sebuah kereta yang dipandu suspek lelaki,”katanya.
Dalam pada itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan mendorong supaya harta diserahkan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menerima atau memiliki harta curi.
Katanya, berdasarkan siasatan mendapati suspek wanita berkenaan mempunyai 22 rekod jenayah lampau melibatkan kes di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 404 Kanun Keseksaan dan Seksyan 15 (4) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
Katanya hasil siasatan juga mendapati suspek melakukan modus operandi kes penipuan yang sama di kawasan Maran dan Temerloh.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati modus operandi suspek adalah mengalih perhatian mangsa dengan bertanyakan tentang produk kosmetik dijual lalu memperdaya mangsa dengan menyatakan suspek memiliki kedai emas dan meminta barang kemas dipakai pengadu untuk ditukar dengan barang kemas baharu.
“Dengan tertangkapnya dua suspek ini polis berjaya melumpuhkan kegiatan penipuan secara bersemuka dan licik ini yang menyasarkan mangsa-mangsa yang terdiri daripada golongan wanita yang memakai barangan kemas,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE