KOTA BHARU – Hasrat 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk lolos dan bekerja di negara ini dengan menaiki bas ekspres tidak kesampaian apabila mereka dicekup di Terminal Bas Lembah Sireh di sini semalam.
Kesemua lelaki warga Myanmar, Pakistan, Bangladesh, India dan Sri Lanka itu ditahan kira-kira pukul 8.30 pagi semasa Bahagian Penguat Kuasa, Jabatan Imigresen Kelantan menjalankan Ops Kutip.
Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, Bahagian Penguat Kuasa membuat pemeriksaan terhadap warga asing di terminal bas itu selepas menjalankan risikan.
Menurutnya, dalam operasi itu, masing-masing seorang lelaki warga Myanmar bersama Pakistan, Sri Lanka (2), India (4) dan Bangladesh (7) ditahan kerana masuk dan
tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.
“Siasatan awal mendapati, kesemua PATI berusia dalam lingkungan 21 hingga 55 tahun. Mereka dipercayai masuk ke negara ini untuk bekerja.
“Warga asing itu dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah dekat sini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE