ALOR SETAR – Seorang bekas kerani bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang milik sebuah masjid berjumlah RM115,900, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Abd. Rahman Hamzah, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah jenayah amanah terhadap wang di dalam akaun sebuah bank milik Masjid Kampung Paya, dengan menjadikannya sebagai harta kegunaan sendiri.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Kuala Nerang, Padang Terap antara pukul 11.39 pagi, 23 Mac 2022 hingga pukul 1.27 tengah hari, 26 Julai 2022.- KOSMO! ONLINE