PETALING JAYA – Beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak mudah mengaku kalah apabila bangkit menewaskan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka India.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Indira Gandhi, New Delhi hari ini, beregu yang baru sahaja melonjak ke tangga ketiga ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu dipaksa bermandi peluh sebelum menang 19-21, 21-12, 22-20.
Keputusan itu turut menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mencatat kemenangan sulung ke atas pasangan tersebut dalam dua perlawanan selepas pertemuan terakhir pada Kumamoto Masters November lalu memihak kepada Dechapol-Supissara.
Ee Wei berkata, masih banyak kelemahan yang perlu dia dan Tang Jie perbaiki, terutamanya apabila sedang berada pada mata penting seperti set ketiga di mana lawan berjaya menyamakan kedudukan meskipun sudah mendahului 20-17.
“Saya fikir ini adalah antara kelemahan yang masih ada (dalam permainan) dan perlu memperbaikinya kerana kami sentiasa belajar daripada setiap perlawanan. Kami hanya perlu tenang dan bermain seperti biasa.
“Kami juga perlu meningkatkan konsistensi dalam gelanggang selain berkomunikasi sesama sendiri dan jurulatih. Kami juga percaya antara satu sama lain, sebab itu dapat bangkit,” katanya kepada BWF.
Menanti Tang Jie-Ee Wei di suku akhir esok adalah satu lagi pasangan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat yang menewaskan beregu China, Cheng Xing-Zhang Chi 21-17, 20-22, 21-17.
Sementara itu, turut meneruskan kemaraan ke suku akhir esok adalah beregu profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang menyingkirkan Yuta Watanabe-Maya Taguchi dari Jepun menerusi aksi tiga set 21-10, 19-21, 21-16. – KOSMO! ONLINE