KOTA BHARU – Niat murni seorang remaja cuba menyelamatkan tiga rakannya yang hampir lemas di Sungai Perupok, Kampung Tikat, Banggol di sini tidak kesampaian apabila dia akhirnya menjadi mangsa dalam kejadian itu.
Mangsa, Wan Mohd. Azamuddin Wan Aznan, 16, ditemui lemas di dalam sungai itu selepas cuba menyelamatkan tiga rakannya sewaktu mahu mengambil sebiji bola yang dibaling masuk ke dalam sungai itu sewaktu mereka sedang bermain.
Tiga rakan mangsa yang terselamat ialah Mohd. Amirul Adam Mohd. Zaid, 14, Mohd. Adam Mohd.Kamil, 12 dan Mohd. Ariff Idham Mohd. Kamil, 11.
Menceritakan detik kejadian itu, Mohd.Amirul Adam ketika ditemui pemberita berkata, dia dan dua lagi rakannya diselamatkan oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan sungai itu.
Katanya, pada awalnya, dia melihat Mohd. Adam dan Mohd. Ariff Idham dalam keadaan terkapai-kapai seperti meminta pertolongan di dalam sungai itu ketika sedang mengambil bola.
“Melihat kepada keadaan itu, saya terus terjun ke dalam sungai. Bagaimanapun, saya tidak dapat berenang dan hampir tenggelam akibat dipijak oleh salah seorang daripada mereka yang sedang meronta-ronta,” katanya.
Menurutnya, selepas itu, dia melihat mangsa yang turun ke sungai untuk menyelamatkan mereka, namun sebaliknya Wan Mohd. Azamuddin pula yang lemas selepas itu.
Katanya, dia dan dua rakannya itu bernasib baik apabila seorang lelaki telah terjun ke dalam sungai dan menyelamatkan mereka.
“Saya sedih kerana rakan baik yang cuba menyelamatkan kami lemas dalam kejadian ini.
“Pada mulanya, saya dapat melihat tangan Wan Mohd. Azamuddin melambai-lambai meminta pertolongan, namun lambaiannya lenyap sewaktu dia tenggelam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafei berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tersungkur kira-kira tiga meter di dasar sungai kira-kira pukul 6.40 petang oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) selepas menjalankan operasi hampir sejam.
Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.23 petang dan keluar ke tempat kejadian bersama 19 anggota untuk operasi mencari dan menyelamat
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.-K!ONLINE