MELBOURNE, AUSTRALIA – Seorang wanita di Australia terkejut apabila mendapat tahu bahawa ‘lakonannya’ sebagai pengantin dalam satu majlis perkahwinan yang disangka olok-olok sebenarnya sah, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Dalam tuntutannya di mahkamah, wanita itu berkata, dia ditipu oleh defendan iaitu suaminya selepas mereka berkenalan pada September 2023.
Sebelum hadir ke lokasi acara perkahwinan, wanita itu diberitahu oleh defendan bahawa dia perlu hadir ke sebuah majlis bertemakan warna putih.
Namun sejurus tiba, wanita itu terkejut melihat hanya terdapat defendan, jurugambar dan pembantunya serta seorang pegawai perkahwinan.
Defendan kemudian menjelaskan bahawa ia adalah majlis perkahwinan olok-olok yang sengaja dibuat untuk membantu dia menaikkan jumlah pengikut di laman sosial.
Plaintif kemudian bersetuju dan ‘berlakon’ sebagai pengantin perempuan serta menjalani upacara perkahwinan yang biasa dilakukan.
Dua bulan selepas perkahwinan itu, defendan meminta wanita itu untuk menambahnya sebagai tanggungan dalam permohonan untuk menjadi pemastautin tetap di Australia.
Kedua-dua mereka bukan rakyat Australia.
Bagaimanapun, wanita itu berkata bahawa dia tidak boleh berbuat demikian kerana mereka belum berkahwin.
Ketika itulah dia mengetahui bahawa majlis perkahwinan olok-olok itu sebenarnya benar.
Setelah meneliti bukti dan hujah kedua-dua belah pihak, Mahkamah Keluarga Melbourne mengisytiharkan perkahwinan itu dibatalkan.
“Saya berasa marah dengan hakikat bahawa saya tidak tahu itu adalah perkahwinan sebenar. Saya juga berasa marah mendapat tahu dia (defendan) berbohong dari awal, dan hakikat bahawa dia mahu saya menambahnya dalam permohonan (pemastautin tetap) saya,” kata plaintif . – AGENSI