SEPANG – Atlet boling lelaki kebangsaan, Muhammad Rafiq Ismail enggan ‘gelap mata’ dengan dua aksi penting iaitu Kejohanan Dunia dan temasya Sukan SEA Thailand 2025 yang akan berlangsung hujung tahun ini.
Naib juara Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) 2025 itu perlu membuat pilihan untuk beraksi pada Kejohanan Dunia ataupun Sukan SEA memandangkan kedua-duanya akan berlangsung hampir serentak.
Kejohanan Dunia dijadualkan di Hong Kong pada 26 November hingga 5 Disember, manakala Sukan SEA akan membuka tirai secara rasmi bermula 9 hingga 20 Disember nanti.
Rafiq berkata, dia perlu membuat pilihan terbaik kerana bimbang mungkin kempunan sekiranya terlalu memberikan perhatian terhadap kedua-dua kejohanan tersebut dengan menyerahkan segala keputusan kepada jurulatih.
“Secara jujur, saya tidak kisah tetapi apa-apa pun, ia bergantung kepada jurulatih dan MTBC (Kongres Tenpin Boling Malaysia). Saya fikir mereka lebih tahu setakat mana (kemampuan) saya boleh pergi.
“Saya risau sekiranya terlampau berikan perhatian kepada Sukan SEA ataupun kedua-duanya, akhirnya kita terlepas semua. Saya tidak mahu fikir lagi tetapi harap yang baik-baik sahaja,” katanya.
Atlet berusia 28 tahun itu mengharungi aksi cukup baik pada Piala Dunia IBF di Hong Kong minggu lalu apabila meraih pingat emas berpasukan lelaki selain memenangi perak menerusi acara perseorangan.
Tambah Rafiq, kejayaan yang diraih pada Piala Dunia itu cukup bermakna kerana menganggap ia sebagai hadiah terbaik buat bapanya yang bergelut dengan masalah kesihatan.
“Memang betul ia (kejayaan) untuk ayah saya kerana emak ada hubungi dan beritahu jantung (bapa) bila-bila sahaja boleh berhenti. Saya hanya berdoa dan kekal fokus, Alhamdulillah semuanya stabil,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE