KLANG – Seorang guru sebuah sekolah berasrama penuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap remaja berusia 13 tahun pada enam tahun lalu.
Tertuduh, Erzazuraidi Mohd. Nasir Perumal, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.
Erzazuraidi didakwa melakukan amang seksual tidak fizikal dengan menyuruh remaja itu mengambil gambarnya sendiri dengan posisi yang berunsur lucah bagi maksud seksual di sebuah rumah sekitar Kapar kira-kira pukul 3 pagi antara November hingga Disember 2019.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(f) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 15 (f) akta tersebut selain penjara sehingga lima tahun dan tidak kurang dua sebatan mengikut Seksyen 16 bagi akta itu.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Ayuni Jamri kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bersama seorang penjamin selain syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi.
Peguam Khairul Mukhtar Salam mitigasinya memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 terhadap Erzazuraidi.
“Tertuduh adalah seorang penjawat awam (guru) dan disiasat sejak 2022 dan sentiasa memberikan kerjasama kepada polis,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan serta menetapkan sebutan semula kes pada 25 Februari ini.
Dalam pada itu, peguam pemerhati, Faizal Rahman mewakili mangsa dan ahli keluarga menggesa siasatan penuh dilakukan bagi mengenal pasti isu gangguan seksual di sekolah itu kerana dipercayai ramai lagi menjadi mangsa.
“Antaranya termasuk ayat-ayat ‘double meaning’, perilaku dan sebagainya. Malah saya sendiri menerima aduan daripada pelajar yang menghadapi masalah sama,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE