PETALING JAYA – Hampir menjadi mangsa, penerbit dan pengarah Michael Ang mendedahkan pernah ditawarkan pakej orang kenamaan (VVIP) daripada sebuah syarikat pengendali pelancongan yang tular ketika ini atas dakwaan penipuan umrah.
Michael bagaimanapun berasa lega kerana tidak menerima tawaran tersebut sekali gus terselamat daripada menjadi mangsa penipuan seperti 314 bakal jemaah umrah lain.
“Nasib baik tidak terima tawaran mereka yang nak taja saya pakej VVIP pergi umrah. Kalau tak, jenuh nak menjawab tentang isu scam.
“Mereka hubungi saya menerusi ruangan mesej dalam Instagram dan TikTok dengan maklumkan nak taja pakej VVIP dan minta saya cuma buat video ketika di sana (Mekah) dan lakukan kursus umrah di pejabat mereka.
“Tentang bayaran, mereka nak bagi tunai dan ajak saya berjumpa. Nasib baik abaikan dan tidak balas mesej mereka. Tak tergerak hati nak terima tawaran mereka,” katanya dalam Instagram hari ini.
Simpati dengan nasib bakal jemaah yang berputih mata tidak dapat menunaikan umrah, dia berharap mangsa penipuan agensi berkenaan bersabar dengan ujian tersebut.
“Tak baik menipu bab umrah, tidak rasa serba salah ke melihat mak cik dan pak cik itu menangis?
“Saya juga rasa simpati kepada yang kena scam terutama mak cik dan pak cik. Bersabarlah.
“Cubalah scam benda lain tetapi bab ini (umrah) juga kau buat,” ujarnya.
Sejak semalam, tular isu sebuah agensi pengendali pakej umrah didakwa gagal menunaikan janji untuk menerbangkan seramai 314 bakal jemaah ke Tanah Suci.
Lebih menyedihkan, kesemua bakal jemaah itu mengalami kerugian hampir RM2.1 juta.
Kumpulan terkandas itu bukan sahaja melibatkan individu yang menetap di sekitar Lembah Klang, malah ada yang tiba dari Korea Selatan, Brunei, Sarawak dan Sabah.
Rentetan dari itu, pihak polis menahan pasangan suami isteri berusia 31 tahun yang merupakan pemilik sebuah syarikat pengendali umrah di Kuala Lumpur semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan ke atas pasangan suami isteri itu dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) pada pukul 7 malam bagi membantu siasatan selepas pihaknya menerima tujuh laporan berkaitan penipuan umrah. – KOSMO! ONLINE