PETALING JAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendakwa, pemimpin Perikatan Nasional (PN) tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri.
Dakwa beliau, pemimpin PN ingkar nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya tidak mengadakan perhimpunan di Istana Kehakiman pada 6 Januari lalu.
“(Ahli Majlis Tertinggi Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kata PN tidak ada masalah mencari calon Perdana Menteri untuk Pilihan Raya Umum Ke-16. Syarat utama calon itu mesti ada hubungan baik dengan istana (Istana Negara)
“Kalau begitu semua pemimpin PN tidak layak. Mereka ingkar nasihat Yang di-Pertuan Agong,” dakwanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Wan Ahmad Fayhsal sebagai berkata, PN tidak mempunyai masalah mencari perdana menteri menjelang pilihan raya umum akan datang.
Beliau menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mohd. Puad mendakwa, Muhyiddin lebih tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana pernah menolak nasihat Istana Negara supaya menyertai Kerajaan Perpaduan.
“Bukan itu sahaja Raja-Raja Melayu menolak cadangan dia teruskan darurat dan menggantung Parlimen. Pokoknya jangan suka suka main sentimen istana untuk politik murahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE