PONTIAN – Keputusan seorang bekas ketua pereka grafik berhenti kerja untuk menjaga ibu selepas kematian bapanya tiga tahun lalu nyata membuka peluang rezeki lebih luas buat dirinya.
Selepas Mohd. Fairuz Hashim, 37, berhenti kerja daripada sebuah syarikat perabot di Pasir Gudang dekat sini, dia pulang ke Kampung Ayer Baloi di sini dan mengusahakan tanaman cili.
Menurut Mohd. Fairuz, bapanya, Hashim Ibrahim meninggal dunia pada tahun 2017 dan dia kemudiannya meninggalkan kerjaya untuk menjaga ibunya, Samsiah Abdullah, 70-an, yang tinggal bersendirian di kampung.
“Tiada orang jaga ibu, jadi saya buat keputusan untuk pulang ke kampung bersama isteri, Nur Hanisah Zakaria dan anak-anak. Kebetulan pula ayah ada tinggalkan tanah seluas dua ekar (0.8 hektar).
“Saya fikir daripada terbiar macam itu, baik saya usahakan sesuatu yang boleh mendatangkan hasil dan daripada situlah saya mula menanam cili jenis sakata 461,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Mohd. Fairuz berkata, dia mendapatkan khidmat nasihat daripada Pertubuhan Peladang Kawasan ( PPK ) Ayer Baloi serta Pejabat Pertanian Daerah bagi bagi mengusahakan tanah tersebut.
Ujarnya, dia memulakan tanaman cili sakata 461 secara fertigasi sebanyak 1,000 pokok di atas tanah seluas 0.4 hektar dengan kos sebanyak RM40,00 bagi penyediaan tapak dan peralatan fertigasi.
“Pada tahun 2018, saya menerima Peruntukan Hubungan Strategik (Strategic Linkages – SL) Negeri Johor di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu 500 set unit fertigasi bernilai RM10,000,” ujarnya.
Pemegang Diploma Reka Bentuk ini berkata, 1,000 polibeg mampu mengeluarkan hasil kira-kira 5 hingga 6 tan semusim dengan memasarkannya melalui PPK Ayer Baloi.